Masih ingat lagikah anda dengan kisah Sang Kancil yang cerdik. Rata-rata kita membesar dengan kisah-kisah teladan yang diturunkan sejak zaman berzaman. Kisah-kisah dongeng ini diperdengarkan sewaktu hendak tidur atau ketika bersantai duduk di beranda bersama atuk dan nenek. Pelbagai aksi dan tingkah dilakonkan mereka, juga dengan intonasi suara yang pelbagai untuk menarik minat kanak-kanak mendengar. Tidak kurang juga ibu bapa yang membelikan anak-anak buku cerita dan membacakannya kepada mereka sewaktu hendak tidur. Kisah-kisah dongeng ini mungkin menjadi imaginasi dan masuk ke dalam mimpi-mimpi lalu membentuk mimpi-mimpi yang indah yang mungkin mencetuskan idea kreatif yang direalisasikan ke dunia kita hari ini.
Akan tetapi sayang sekali budaya ini sudah semakin pupus ditelan zaman. Kanak-kanak sekarang lebih memilih gajet atau alatan berteknologi canggih berbanding buku. Ibu bapa juga telalu sibuk bekerja dan kurang meluangkan masa bersama anak-anak sewaktu mereka hendak tidur. Mereka lebih senang menyediakan anak-anak dengan gajet-gajet ini berbanding memperdengarkan sendiri bacaan mereka kepada anak-anak. Akibatnya budaya membaca tidak diperturunkan ke generasi hari ini.


Terdapat pelbagai usaha dilakukan bagi mengekalkan budaya ini masih ramai yang sedar akan kepentingannya. Namun begitu, penggunaan gajet di zaman ini sangat meluas dan semakin sukar ditandingi. Alangkah baiknya sekiranya kedua-dua perkara ini berjalan seiringan. Tentu lebih besar faedah yang akan diperoleh.
Antara gajet dan buku, mana satu pilihan anda?

Kisah dongeng terkenal di Malaysia termasuklah Sang Kancil, Hikayat Sang kelembai, Lagenda Mahsuri, Hikayat Hang Tuah, Si Luncai, Pak Pandir dan banyak lagi. Jika barat sentiasa mengangkat cerita-cerita dongeng mereka sehingga terhasilnya filem-filem hebat seperti Alice in the Wonderland, Cinderella, Maleficent dan Beauty and the Beast, mengapa tidak kita?
Kisah-kisah Sang Kancil mengangkat kebijaksanaan Sang Kancil yang cilik. Walaupun bertubuh kecil, namun Sang Kancil bijak membebaskan diri daripada bahaya-bahaya yang datang dari sekelilingnya. Ini boleh menjadi satu inspirasi kepada kanak-kanak, tentang betapa pentingnya kemahiran berfikir serta dapat membantu anak-anak kecil ini lebih yakin diri dengan kebijaksanaan yang mereka miliki apabila berhadapan dengan sesuatu yang mereka takuti.
Kisah-kisah dongeng Melayu sarat dengan pengajaran dan contoh teladan yang berguna sesuai dengan budaya masyarakat kita. Kanak-kanak akan mudah faham dan boleh mengaitkan apa yang terjadi dalam cerita dengan apa yang berlaku disekeliling mereka. Sudah pasti mereka membayangkan diri mereka sebagai wirawan wirawati di dalam kisah dongeng tersebut. Teraju utama cerita dengan gagah berani melawan raksasa, mendaki gunung dan meredah bukit-bukau, meniti pelangi indah di kaki gunung, meredah samudera yang terbentang luas, terbang bebas ke langit biru, mengharung kepekatan malam yang sunyi dan bermacam-macam lagi.

Semua ini akan mereka telusuri melalui imaginasi mereka. Buku-buku sebegini boleh menjadi medium eskapisme buat mereka. Dunia penuh imaginasi dan fantasi ini tentunya akan menjana pemikiran kreatif mereka selain mengajar mereka membezakan antara yang baik dan buruk. Amat berbeza dengan menonton televisyen, dengan membaca, daya imaginasi dan kreativiti mereka tidak hanya terhad kepada apa yang mereka lihat sahaja. Mereka bebas mencipta ruang imaginasi mereka sendiri. Jadi mengapa hadkan imaginasi dan kreativiti mereka? Bukankah kreativiti itu senjata dan perisai untuk kehidupan mereka di masa akan datang?